KOMPILASI BEST
SELLER 3 IN 1
(Aku Terima
Nikahnya, Bercinta Sampai Syurga dan Murabbi Cinta)
TRILOGI AKU TERIMA
NIKAHNYA Edisi Hard Cover merupakan gabungan buku best seller Aku Terima
Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Murabbi Cinta. Ia diterbitkan dengan
hard cover bersama tajuk depan dengan Gold Hot Stamping bersama dan teks dalam
yang dicetak dwi warna. Turut dihiasi dengan petikan-petikan daripada setiap
artikel untuk kemudahan pembaca. Dihasilkan dengan sasaran menjadikannya
sebagai cenderamata dan hadiah perkahwinan, juga sesuai sebagai koleksi
peribadi.
CORETAN PENULIS
Saya bukan novelis. Saya bukan
penulis. Saya belum ada ciri-ciri yang lazim terkait sebagai seorang penulis.
Saya hanyalah seorang anak, suami, bapa, adik, saudara, rakan, da’I serta insan
pejuang yang menulis. Menulis kerana itu cara saya memberitahu diri. Menulis kerana
itu cara saya memaham erti. Menulis kerana ia dan diri sudah sebati. Malah
menulis kerana [...]
Saya bukan novelis. Saya bukan
penulis. Saya belum ada ciri-ciri yang lazim terkait sebagai seorang penulis.
Saya hanyalah seorang anak, suami,
bapa, adik, saudara, rakan, da’I serta insan pejuang yang menulis.
Menulis kerana itu cara saya
memberitahu diri. Menulis kerana itu cara saya memaham erti. Menulis kerana ia
dan diri sudah sebati. Malah menulis kerana itu cara saya menentang mati. Agar
di satu hari nanti, saya tidak mati oleh sebuah kematian. Tulisan tinggal
sebagai rakaman. Rakaman tentang kehidupan. Kehidupan yang menjadi cermin untuk
setiap pembaca mencari diri.
Segalanya bermula di situ.
Aku Terima Nikahnya (2008), bermula
daripada percubaan saya untuk memahami apa yang telah dan sedang saya lalui.
Menilai kembali setiap satu langkah kecil yang diambil menuju kehidupan
berumahtangga, Tauhid dan cinta menjadi sendi dan nadi membina mahligai impian.
Saya tidak pernah membayangkan Aku Terima Nikahnya diangkat sebagai
manual cinta. Ia bukan cerita cinta. Ia cerita kehidupan.
Namun menjenguk kehidupan daripada
jendela cinta, lebih sering mengurniakan pelangi, warna yang menghimpun semua
perasaan kita. Calon pencinta menjadikannya sebagai persediaan. Pencinta semasa
mengambilnya sebagai perencah rasa. Pencinta semalam bercermin diri
menjadikannya sebagai renungan. Aku Terima Nikahnya tersedia untuk
semua. Aku Terima Nikahnya pergi terlalu jauh.
Abang dan kakak berpesan kepada adik,
suami dan isteri saling memujuk pasangan membelek.
“Bacalah, bang. Ini bukan buku
perempuan. Ia perspekif lelaki. Seorang suami. Seperti abang!” pujuk seorang
isteri.
“Bacalah yang. Ini buku untuk
perempuan. Hakikat lelaki untuk isteri memahami suami. Seperti abang!” rayu
seorang suami.
Aku Terima Nikahnya terbuka kepada apa
sahaja bentuk tanggapan dan jangkaan. Namun setinggi syukur kepada Allah atas
setiap kebaikan yang diperolehi oleh mereka yang memanfaatkan. Perjuangan Aku
Terima Nikahnyaadalah untuk menyuntik keyakinan, bahawa kebejatan fitnah
hidup semasa, tidak sama sekali menjadikan cinta dan perkahwinan berteraskan
Islam, mustahil tegak di tengah arus yang derunya bertentangan.
Bercinta Sampai ke Syurga (2009) memanggil
burung pulang ke sarang. Puas terbang tinggi meninjau kehidupan, sekual Aku
Terima Nikahnya ini menjemput pembaca untuk terus menyapa awan namun kaki
jangan memencil bumi.
Ia penuh dengan liku-liku perjalanan
rumahtangga dan perkahwinan. Antara pedas, manis dan pahit. Tiga rasa yang
merencah realiti kehidupan.
Jika Aku Terima Nikahnya
membekalkan saranan membina kehidupan bersendikan Syariatullah, Bercinta
Sampai ke Syurga pula menyuluh keperluan Sunnatullah. Syariat dijaga, hukum
hakam dipelihara, namun rumahtangga tetap bergelora kerana Kitab Kalam tidak
harus terpisah daripada Kitab Alam. Sunnatullah yang ditempa Allah sebagai
sifir kehidupan, jangan disanggah, jangan diremeh temehkan.
Membina jambatan keserasian antara
suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, ahli keluarga dan persekitaran,
semuanya harus tunduk kepada hukum alam tentang hubungan manusia. Pertemuan
saya dengan sisi kedua selepas Aku Terima Nikahnya, sungguh
menginsafkan. Ia mengajar saya untuk lebih manusiawi terhadap isteri dan
anak-anak, belajar seni rasa dan seni kata, bukan jauh meninjau seberang,
tetapi bersuluhkan kekayaan jiwa insan bergelar Nabi. Rasulullah sallalaahu
‘alayhi wa sallam sendiri yang hangat watak dirinya terhadap para isteri dan
anak-anak.
“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang
terbaik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku” – Al-Hadith
Segala atas dan bawah, hitam dan
putih, salah dan betul yang terakam di dalam naskhah Bercinta Sampai ke
Syurga, adalah usaha-usaha saya untuk menjadi manusia terbaik di pandangan
baginda, juga pandangan Allah yang Esa.
Perkahwinan bertambah usia, anak-anak
bertangga dewasa. Rumahtangga beralih ke fasa seterusnya, nikmat dan cabaran
saling bersulam mematangkan kehidupan. Di medan itulah Bercinta Sampai ke
Syurga menghidang cerita. Serunya bukan untuk kehidupan yang sementara. Ia
suatu jemputan, mengajak pasangan yang hangat berkasih, bercinta
selama-lamanya, hingga ke Syurga.
Hanya satu syarat ketetapan. Taqwa
yang benar kepada Tuhan. Murabbi Cinta (2010) bukan ulangan cerita.
Setelah Aku Terima Nikahnya
dan Bercinta Sampai ke Syurga bermain peranan di pesada kembara insan
mengenal Tuhan dan kehidupan, Murabbi Cinta mahu mengenengahkan sumber
inspirasi terbesar seluruh perkongsian.
Pelbagai modul cinta terhidang di
depan mata. Hingga kita mungkin terlupa, bahawa tiada insan yang hatinya mampu
berkasih, seperti naluri Murabbi Cinta, Uswah Hasanah teladan mulia, Muhammad
yang Amin, sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Masakan tidak, setelah romantiknya
kita tekuni, belas ihsan hatinya kita hayati, gurau sendanya kita teladani,
tegas benarnya kita ikuti, tidakkah sebesar-besar cinta adalah cintanya kepada
setiap kita? Mencintai manusia yang belum ada. Hingga hidupnya tidak
berwasiatkan sisa, kecuali pedoman untuk sahabat dan ikhwan, yakni kita kaum
mukminin di zaman kemudiannya, yang pernah mengusik jiwa baginda, akan rindunya
kepada kita.
Itulah tema Murabbi Cinta.
Mengajak diri saya meneladani seorang
Nabi. Utusan Allah yang tidak pernah mensesiakan kuasa cinta, pada menjinakkan
umat kepada agama. Cinta dan Tauhid menjadi satu, bekalan teragung sepanjang
zaman.
Sunnahnya menjadikan kita hidup
bercara. Sunnahnya menjadikan masalah dan cabaran hidup sebagai laluan menjadi
dewasa. Sunnahnya mencegah lemah dan putus asa.
Sunnahnya terungkap di naskhah Murabbi
Cinta, agar semua kebaikan yang sempat dilontar cerita, menambahkan
penghargaan dan kasih, kepada mahaguru kita yang satu, Rasulullah Muhammad
sallallaahu alayhi wa sallam.
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
TESTIMONIAL
Sebagai pengikut
setia Ustaz Hasrizal, saya gambarkan bahawa beliau sebagai pemikir yang
memiliki satu keupayaan untuk mengupas sesuatu perkara dengan tepat mengena
sasaran, ringkas tapi mantap, pedas tapi jujur, panas tapi ikhlas dan berapi
tapi beralas. Bahasa yang mudah dan tidak berbelit-belit begitu pantas dirakam
oleh minda. Inilah kualiti pendakwah yang akan dirindui untuk zaman-berzaman.
Sehingga kini, saya amat terkesan dengan satu titipan dalam Aku Terima
Nikahnya. Beliau menulis, “Seorang ibu dan ayah mampu menahan pedih dan perit
membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia-
CINTA TANPA SYARAT.” Saya rasa kalimah ini sahaja sudah mampu menjentik jutaan
mata dan hati untuk menangis dan menginsafi akan kasih sayang ibu bapa sebagai
anugerah terindah di mayapada. Aku Terima Nikahnya bukan sahaja naskhah cinta
gerbang perkahwinan, malah membawa bersama serangkaian cinta kepada Allah dan
manusia yang wajar dijadikan koleksi berharga setiap Muslim. Inilah antara
kupon daripada Ustaz Hasrizal untuk kita jadikan bekalan menuju gapura syurga
abadi … ”
AHMAD FEDTRI YAHYA
TV3
TV3
Aku Terima Nikahnya karya Hasrizal Abdul Jamil bukan sekadar retorik.
Falsafah cinta yang diutarakan tidak tertumpu pada cinta Adam dan Hawa, tetapi
melampaui kehidupan selepas “Aku terima nikahnya…” dilafazkan oleh bakal suami.
Tulisannya tertumpu pada memulihara dan ‘survival’ sebuah perkahwinan. DOs and
DON’Ts yang dikongsikan wajar dijadikan rujukan bagi pasangan yang mahu atau
telah berumah tangga. Sebuah buku yang amat relevan untuk masa kini. Patut
dimiliki oleh orang yang cintakan kebahagiaan rumah tangga dunia dan akhirat.
Renung-renungkan
dan selamat beramal.
PROF. MADYA HJ. MD IZUDDIN HJ. ALI (IZZI)
Pensyarah/Perunding Motivasi
Pensyarah/Perunding Motivasi
No comments:
Post a Comment